Wednesday, February 23, 2011

BENARKAH SAYYIDATUNA AISYAH R.ANHA BERNIKAH DENGAN RASULULLAH S.A.W PADA USIA 6 TAHUN?

Di antara perkara asas untuk kesempurnaan islam seseorang ialah memberi penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah. Sekiranya seseorang itu hanya memberikan penyaksian mengenai ketuhanan Allah ta’ala, tetapi merasa ragu-ragu dengan sebarang tindakan yang diambil oleh Baginda s.a.w, maka imannya berada di dalam keadaan bahaya, dan tiadalah bezanya di antara dia dengan yahudi atau kristian yang hanya mengaku bahawa Allah adalah tuhan mereka, sedangkan ingkar dengan segala yang dibawa oleh Baginda s.a.w.



Maksud Firman Allah ta’ala:



‘Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul s.a.w hendaklah kamu pegang dengan dengan teguh, dan apa sahaja yang dilarangnya hendaklah kamu hentikan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah! Sesungguhnya Allah sangatlah keras pembalasanNya.’ (Hashr:7)



Ayat di atas menyebut bahawa tiadalah yang lain melainkan balasan yang amat keras terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan tindak-tanduk Baginda s.a.w. Sebagai muslim kita harus yakin bahawa segala yang dilakukan oleh Baginda s.a.w adalah berdasarkan wahyu, dan tidak mungkin Rasulullah akan melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang Allah apatah lagi moral manusia.



Di antara perkara yang sering dipertikaikan oleh musuh-musuh Islam ialah pernikahan Baginda s.a.w dengan ummul mukminin Aisyah r.anha. Usia Aisyah ketika berkahwin dengan Baginda s.a.w sering dijadikan senjata untuk digunakan di dalam usaha mereka menyebarkan keraguan terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w seterusnya terhadap Islam itu sendiri.



Paderi Jerry Vines ketika berucap di Konvensyen Baptis Selatan di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat pada 10 Jun 2002 telah melukakan hati umat Islam sedunia dengan menuduh bahawa Rasulullah s.a.w adalah pedofilia, penggemar kanak-kanak yang dirasuk syaitan. Na’udzu billah.



Sejarah, walau sekuatmanapun riwayatnya tidaklah lebih tinggi dari wahyu. Lebih-lebih lagi apabila ianya boleh membawa kepada persoalan terhadap keperibadian baginda s.a.w.



Berapakah Usia Aisyah ketika Berkahwin?



Rata-rata umat Islam hari ini beranggapan bahawa usia Aisyah r.anha ketika bernikah dengan Rasulullah s.a.w adalah enam tahun, pada tahun ke12 atau 13 kenabian,dua tahun selepas selepas kematian Ummul Mukminin Khadijah r.anha, dan tinggal bersama Baginda s.a.w ketika berusia sembilan tahun pada tahun pertama, kedua atau ketiga hijrah. Beliau merupakan isteri Baginda s.a.w yang ketiga selepas Khadijah r.anha dan Saudah r.anha.



Untuk memahami situasi ini seseorang itu perlu kembali kepada dua sumber utama agama iaitu Al-Quran dan Sunnah. Di dalam Al-Quran tidak disebut di dalam mana-mana ayat mengenai usia bagi seorang wanita berkahwin secara spesifik. Tetapi Allah ta’ala mengisyaratkan di dalam surah Nisa ayat 4 bahawa;



‘Dan ujilah anak-anak yatim (yakni jagalah harta mereka) sehingga mereka mencapai umur berkahwin.’



Ulamak bersepakat bahawa yang dimaksudkan dengan usia berkahwin ialah apabila seseorang itu baligh dan berakal. Fuqaha berpendapat bahawa usia normal bagi seseorang budak lelaki atau perempuan untuk baligh ialah 15 tahun hijri, walaupun adalah mungkin untuk mereka baligh sebelum itu. Sekira difikirkan secara logik, adalah tidak mungkin seorang kanak-kanak berusia 6 atau 9 tahun untuk mencapai usia kahwin kerana yang dimaksudkan di dalam ayat ialah:

1. Cukup umur dan

2. berakal dan bersedia untuk menguruskan rumah tangga.



Umur 6 atau 9 tahun bukanlah umur yang sesuai untuk bernikah bagi mana-mana kanak-kanak.



Sekiranya ayat ini diambil kira, maka tidak mungkin bagi Baginda s.a.w untuk tinggal bersama dengan seorang kanak-kanak yang pada lazimnya belum baligh kerana Rasulullah s.a.w sendiri di dalam Quran telah ditegah oleh Allah ta’ala untuk melanggar sesuatupun dari arahanNya seperti yang termaktub dalam surah Yunus ayat 94-95.



Di dalam kitab-kitab hadis pula yang masyhur ialah Aisyah r.anha bernikah pada usia 6 dan tinggal bersama dengan Baginda s.a.w ketika berusia 9 tahun seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain.



Walaupun terdapat banyak riwayat mengenai usia Aisyah seperti yang disebut di atas, semua pihak perlu tahu bahawa sanad kesemua riwayat itu datang dari seorang sahaja individu iaitu Hisyam bin ‘Urwah bin Zubair bin ‘Awwam r.a. dari ayahnya. Hisyam merupakan cucu kepada Asma’ r.anha, kakak kepada Aisyah r.anha. Dan ayahnya Urwah adalah anak dan adik kepada dua sahabat Nabi s.a.w yang terkenal Zubair dan Abdullah r.a. Di samping itu, Urwah juga selalu berdamping dengan ibu saudaranya Aisyah r.anha dalam menuntut ilmu agama. Terdapat juga riwayat selain Hisyam tetapi kesemuanya adalah dhaif.



Walaupun riwayat Hisyam diterima oleh ahli-ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim tetapi berikut adalah kenyataan pakar-pakar hadis mengenai riwayat beliau mengenai usia Aisyah:



1. Hisyam mempunyai dua era, era Madinah pada usia mudanya dan era Iraq ketika di hari tua iaitu pada usia 71 tahun. Semua riwayat beliau mengenai umur Aisyah r.anha adalah pada era beliau tinggal di Iraq dan bukan di Madinah.



2. Tiada seorangpun dari anak murid beliau dari Madinah seperti Imam Malik bin Anas meriwayatkan dari beliau atau orang lain mengenai usia Aisyah r.anha.



3. Ya’qub bin Syaibah melaporkan bahawa riwayat Hisyam diterima selain dari yang beliau riwayatkan di Iraq. (Tahzib at-Tahzib karangan Ibnu Hajar, jilid 11 m/s 48-51.)



4. Diriwayatkan bahawa kekuatan hafalan dan ingatan Hisyam terjejas teruk ketika usia tuanya. Oleh itu riwayat beliau ketika usia tuanya tidak diterima ahli hadis. (Mizanul I’tidal karangan Imam Dzahabi Jilid 4 m/s 301.)



5. Walaupun terdapat di dalam Bukhari bahawa Aisyah r.anha dilahirkan 8 tahun sebelum hijrah, tetapi di dalam riwayat Bukhari yang lain juga ada menyebut bahawa beliau masih kanak-kanak ketika turunnya surah Qamar yang turun 9 tahun sebelum hijrah. Usia yang sesuai untuk penggunaan perkataan ‘jariah’ atau kanak-kanak perempuan biasanya digunakan untuk mereka yang sudah boleh bertutur, bukan untuk bayi. Sekiranya diambil usia tersebut dan ditambah dengan 9 tahun dan 3 tahun nikah gantung, maka usia beliau ketika berkahwin sudah tentulah lebih dari 9 apatah lagi 6 tahun.



6. Terdapat juga di dalam banyak riwayat bahawa Aisyah r.anha telah berkecimpung di dalam Perang Badar pada tahun 2 hijrah dan Perang Uhud pada tahun 3 hijrah, yang mana Rasulullah s.a.w menegah mereka yang berusia kurang dari 15 tahun untuk berperang. Sekiranya lelaki yang tidak cukup umurpun tidak diberi keizinan untuk berkecimpung dalam kedua-dua perang tersebut, apatah lagi perempuan yang jauh lebih muda dari mereka?



7. Kebanyakan ahli sejarah mengatakan bahawa Asma’ kakak Aisyah adalah 10 tahun lebih tua dari Aisyah. Di dalam kitab taqrib at-Tahzib menyatakan bahawa Asma meninggal pada tahun 73 hijrah ketika berusia 100 tahun. Ini bermakna usia Asma’ ketika berhijrah adalah 27 tahun dan Aisyah r.anha ketika itu berusia 17 tahun, bukannya 6 tahun.



8. Diriwayatkan bahawa oleh Ibnu Hisyam bahawa Aisyah telah lama masuk Islam sebelum Sayyiduna Umar r.a yang memeluk Islam pada tahun 5 kenabian. Ini menunjukkan bahawa Aisyah r.anha sudahpun kanak-kanak ketika datangnya Islam. Usia beliau ketika tinggal bersama Rasulullah s.a.w adalah 15-17 tahun. (Sirah Nabawiyyah jilid 1 m/s 227-234)



9. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa selepas kematian Khadijah r.anha, Baginda s.a.w didatangi Khaulah r.anha dan menyarankan agar Baginda s.a.w berkahwin lagi. Beliau juga memberikan dua calon sama ada baginda s.a.w bernikah dengan anak dara atau dengan janda. Perkataan ‘bikr’ atau anak dara biasanya digunakan untuk gadis yang sudahpun mencapai umur baligh, bukan untuk kanak-kanak berusia 6 tahun. (Musnad Ahmad, jilid 6 m/s 210)



10. Ibnu Hajar Al-‘Asqalani melaporkan bahawa puteri Baginda s.a.w, Fatimah Zara’ r.anha adalah lima tahun lebih tua dari Aisyah r.anha. Fatimah r.anha dilahirkan lima tahun sebelum kenabian ketika Baginda s.a.w berusia 35 tahun. Ini menunjukkan bahawa Aisyah sekurang-kurangnya berusia 15-16 tahun ketika tinggal bersama Baginda s.a.w. (Al-Isabah fi Tamyizis-Sahabah, Ibnu Hajar, jilid 4 m/s 377).



Akhir kata, usia Aisyah r.anha tidak pernah menjadi isu pada ketika hayat Baginda s.a.w. Sekiranya ini adalah sesuatu yang serius, sudah tentu musuh-musuh Islam ketika itu akan menjadikannya senjata untuk menyerang keperibadian Baginda s.a.w. Para pembaca perlulah ingat bahawa riwayat mengenai umur Aisyah r.anha datang dari satu individu yang terjejas hafalannya kerana faktor usia, dan bukanlah dari lidah mubarak Baginda s.a.w sendiri.



Semoga artikel ini dapat memberikan pembaca jawapan terhadap persoalan yang sering menghantui umat Islam selama ini.



Dan Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui.



Abdul Latif Rahbar B Ahmad Subki